OKTOBER 2021

Sarawak Terima Pulangan Masuk RM6.8 bilion - Abang Johari


KUCHING: Kerajaan Sarawak telah menerima pulangan masuk sejumlah RM6.8 bilion bagi tempoh dari 2019 hingga September tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurunya, pulangan itu 

daripada cukai jualan ke atas produk petroleum.

“Dengan hasil yang lebih negeri kita mempunyai keupayaan, melalui pelaksanaan pakej-pakej bantuan BKSS, untuk menyerap hentakan pandemik Covid-19, khususnya kesannya kepada rakyat, peniaga kecil-kecilan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS),” katanya berucap pada Majlis Jamuan Negeri Sempena Hari Jadi TYT Ke-85 di Pusat Borneo Konvensyen Kuching (BCCK), malam ini.

 Hadir sama, Yang di- Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Taib.

Menurut Abang Johari, 

Kerajaan Sarawak telah mendepani setiap cabaran pandemik Covid-19 dengan cekal dan tabah di samping usaha gigih untuk merumuskan strategi melindungi nyawa rakyat dan mempertahankan ekonomi demi memastikan Sarawak dapat melalui cabaran getir ini dengan lebih yakin.

Kerajaan Negeri, katanya sebagai langkah untuk mengurangkan kesan pandemik, telah melaksanakan tujuh pakej bantuan rakyat, ditambah pula dengan belanjawan terbesar dalam sejarah negeri iaitu Belanjawan 2021 bernilai RM10.1 bilion. 

“Langkah-langkah yang melibatkan bantuan dan suntikan kewangan ini untuk memastikan setiap lapisan masyarakat kita terbela nasib mereka, untuk menyokong kelangsungan perniagaan dan memastikan ekonomi kita terus bertahan walau terkesan teruk oleh Covid-19,” tambahnya.

Katanya, tujuh pakej bantuan tersebut, iaitu BKSS 1.0 hingga BKSS 7.0 dengan 30 program dan inisiatif melibatkan perbelanjaan sebanyak RM5.30 bilion sejak Covid-19 melanda. 

Ini merupakan antara kadar bantuan terbesar oleh sesebuah kerajaan negeri di Malaysia. 

Katanya, ini tidak termasuk peruntukan khas berjumlah melebihi RM91 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), bagi menampung perbelanjaan menangani pandemik.

Abang Johari menjelaskan, peruntukan RM63 bilion dalam 

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk melaksanakan lebih dari 1,000 program dan projek yang memfokuskan kepada pembangunan  infrastruktur asas seperti jalan raya dan jambatan, bekalan air dan elektrik terawat serta rangkaian telekomunikasi. 

Justeru, Abang Johari meminta rakyat agar mengekalkan 

perpaduan rakyat yang berbilang bangsa dan agama dalam usaha mengejar impian Sarawak menjadi sebuah masyarakat dan negeri yang maju. 

“Walau berapa banyakpun kekayaan bumi kita, jika negeri kita tidak selamat dan stabil semua kekayaan itu tidak akan dapat diusahakan untuk memberi kekayaan kepada negeri kita,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti